Home » , » Empat jam tersangkut atas pokok

Empat jam tersangkut atas pokok

Written By aku on Friday 19 May 2017 | 9:31 pm


BESUT - Pengalaman tersangkut hampir empat jam di atas pokok setinggi kira-kira 16 meter langsung tidak melunturkan semangat Sharifah Nadia Wafa Syed Muhammad Thalal Wafa, 29, untuk meneruskan hobinya itu dalam sukan luncur udara (paragliding).

Malah kemalangan yang berlaku dua tahun lalu itu dijadikan pengalaman berharga untuk beliau lebih berhati-hati setiap kali terlibat dalam acara itu.

Menurut gadis dari Kuala Lumpur itu, kejadian tersangkut atas pokok berhampiran Rumah Api, Jugra, Selangor ketika membuat terbangan dengan payung terjun kira-kira jam 6.30 petang berlaku ketika dia baru mula berjinak dengan hobi tersebut.


"Saya diselamatkan dan diturunkan oleh anggota bomba pada 10.19 malam tanpa sebarang kecederaan.

"Apa yang berlaku tak patahkan semangat saya tapi berjaya bentuk saya jadi paraglider yang berani dan lebih profesional," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Luncur Udara Antarabangsa Terengganu (Tipco) 2007 di Taman Paragliding Kota Putera, Bukit Bubus dekat Tembila, di sini.

Majlis disempurnakan Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan  Che Ku Abd Rahman.

Dalam kejohanan tersebut, Sharifah Nadia Wafa dinobatkan sebagai johan keseluruhan kategori wanita dan membawa pulang hadiah wang tunai 300 euro dan pingat sementara peserta Vietnam di tempat kedua diikuti Jepun tempat ketiga.

Katanya, ini penyertaan ketiganya dalam kejohanan antarabangsa bagi acara itu dan pencapaian tersebut amat membanggakannya apabila menunjukkan peningkatan berbanding kejohanan terdahulu.

“Dalam kejohanan peringkat antarabangsa sebelum ini di Jugra saya dapat tempat kedua dan menerusi kejohanan peringkat kebangsaan terdahulu lagi saya mendapat tempat ketiga,” katanya.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari berakhir semalam itu dan julung kali diadakan di negeri ini itu disertai 90 peserta termasuk penyertaan 75 peserta luar negara membabitkan 27 buah negara termasuk Malaysia.

Peserta Indonesia, Rio Indrakusumah  muncul juara terbuka keseluruhan Tipco 2017 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai 1,000 euro.

Tempat kedua pula Siwakorn Sornnuwatara dari Thailand memenangi hadiah 700 Euro, ketiga Ariubat Khadkhuu dari Mongolia dengan hadiah sebanyak 300 euro.

Manakala dua peserta dari Malaysia menduduki tempat keempat dan kelima iaitu Nasarudin A.Bakar serta Mohd Nazri Sulaiman.

Bagi kategori kebangsaan pula, tempat pertama dimenangi Nasarudin Abu Bakar, kedua Mohd Nazri Sulaiman manakala tempat ketiga ialah Mohd khairul Kamaruddin.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger