|
ABD Kadir Md Salleh, 59, menujukkan gambar cucunya yang meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh bapa tirinya di FELDA Tenang, Hulu Besut. - Foto Mohamad Ishak |
JERTIH: Ketika umat Islam masih ceria meraikan kedatangan Syawal, nasib berbeza menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang meninggal dunia selepas dipercayai didera oleh bapa tirinya, pagi tadi. Muhammad Hairi Amsyar Abdul Rahman dari Felda Tenang, Hulu Besut, di sini, disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Besut selepas dibawa oleh bapa tirinya kira-kira jam 3.30 pagi tadi. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata ketika menghantar kanak-kanak terbabit ke hospital, suspek mendakwa anak tirinya itu cedera akibat terjatuh dari motosikal. Bagaimanapun, katanya, dakwaan suspek diragui oleh pihak hospital berikutan kelihatan beberapa kesan lebam lama dan baharu di badannya. "Pihak hospital membuat laporan di Balai Polis Jertih kira-kira jam 5.30 pagi tadi. "Pemeriksaan pihak hospital mendapati kanak-kanak itu sudah meninggal dunia," katanya kepada pemberita, hari ini. Sebaik mengetahui kematian anak tirinya itu, Mohd Zamri berkata, lelaki berusia 38 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Pasir Akar. Beliau berkata, suspek ditahan selepas polis mengambil keterangan ibu mangsa sejurus mendapat laporan pihak hospital, pagi tadi. "Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berhubung kes dadah dan pernah ditangkap mengikut Seksyen 3 (1) Akta Kanak-Kanak. "Mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk bedah siasat oleh Pakar Forensik Perubatan dari Hospital Kuala Lumpur esok," katanya. Suspek ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.