Dakwaan tiada waris tidak tepat
Written By aku on Wednesday, 5 July 2017 | 1:25 pm
KUALA BESUT - Kisah lima beradik dari Kampung Beris Lampu, di sini yang didakwa hidup sebatang kara selepas kematian ibu mereka 30 Jun lalu mendapat perhatian pelbagai masyarakat setelah kisahnya disiar sebuah media elektronik seterusnya tersebar melalui media sosial.
Susulan berita itu, pelbagai pihak yang bersimpati tampil menghulurkan bantuan dan tidak kurang juga yang ingin mengambil sebagai anak angkat apabila laporan turut menyebut lima beradik itu bersedia untuk dijadikan anak angkat oleh sesiapa sahaja asalkan mereka tidak dipisahkan.
Bagaimanapun dakwaan tersebut disanggah dan dinafikan datuk kepada lima beradik tersebut, Ismail Embong, 70, dan waris yang lain.
Menurut Ismail, dakwaan seperti dilaporkan itu tidak tepat mungkin berpunca kerana silap faham atau pihak terbabit tidak merujuk kepada pihak sepatutnya.
“Mereka masih ada datuk dan nenek, ibu mahupun bapa saudara serta waris lain. Jadi macam mana boleh timbul cerita hidup mereka sebatang kara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beris Lampu, semalam.
Ismail adalah bapa kepada ibu lima beradik itu, Akma Ismail, 41, yang meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan Jumaat lalu kerana kanser payu dara.
Kata bekas Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan lagi, anak perempuannya yang merupakan ibu tunggal menderita kanser selepas dikesan sejak setahun lalu.
“Keadaannya semakin teruk sehinggalah pada pertengahan Ramadan lalu dia dimasukkan ke HUSM sehingga meninggal dunia.
“Arwah yang bekerja sebagai tukang jahit ketika hayatnya meninggalkan lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan iaitu Muhammad Azri Irfan Mohd Zahari, 14, Muhammad Azril Irman, 13, Azreen Eleya Balqis, 11, Muhammad Azri Isyraaf, 6 dan Azlily Eleya Qistina, 3,” katanya.
Akan tetap jaga semua cucu
Ismail berkata, ketika anaknya terlantar di hospital, ahli keluarga termasuk kakak arwah, Azizah Ismail, 54, yang tinggal di Lembah Bidong, Setiu, bergilir-gilir menunggu Akma di HUSM termasuk anak-anaknya.
Menurutnya, arwah tidak mahu berenggang dengan anaknya menyebabkan tiga anaknya berada di situ di samping ahli keluarga lain.
Katanya, dia dan ahli keluarga yang lain kesal terhadap dakwaan tersebut kerana ia menjatuhkan maruah keluarga kerana menggambarkan seolah-olah ahli keluarga mengabaikan kanak-kanak itu.
Menurutnya, dia akan tetap menjaga cucunya sehingga mereka membesar dan dapat menguruskan diri sendiri.
“Saya tak akan izinkan orang luar ambil cucu saya, sekiranya saya tak larat atau tak mampu jaga, ibu atau bapa saudara mereka akan jaga,” katanya yang tinggal di rumah bersebelahan dengan rumah didiami Akma sekeluarga sebelum ini.
Katanya lagi, cuma sekarang dia akan berbincang dengan pihak sekolah untuk menempatkan Muhammad Azri Irfan dan Muhammad Azril Irman di asrama sebuah sekolah agar mereka dapat menumpukan kepada pelajaran.
Menurutnya, sekarang Muhammad Azri Irfan kini belajar di Sekolah Menengah Agama Maarif manakala Muhammad Azril Irman di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Peroi sementara Azreen Eleya Balqis murid Tahun 5, SK Kampung Nangka.
Dalam pada itu, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang turut menziarahi keluarga terbabit melahirkan rasa terkejut dengan dakwaan tersebut.
Katanya, keluarga tersebut dalam perhatian pihaknya sejak ibu kanak-kanak terbabit disahkan menghidap barah payudara tahun lalu.
“Arwah Akma telah mendapat bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 2013 selepas arwah berpisah dengan suaminya.
“Bantuan tersebut akan diteruskan melalui waris sah yang menjaga lima beradik ini manakala Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (Maidam) Terengganu juga memperuntukkan bantuan bulanan RM500 kepada kanak-kanak terbabit,” katanya di samping Pegawai Kebajikan Daerah, Suzieyati Siyude yang turut hadir.
Katanya, bapa kanak-kanak terbabit juga masih ada dan tinggal berdekatan dengan keluarga Ismail.
Selepas mengunjungi keluarga terbabit, Tengku Zaihan membawa kanak-kanak tersebut ke sebuah bank di Kuala Besut untuk membuka akaun termasuk memasukkan wang yang disumbangkan beliau.
Kisah lima beradik ini mula mendapat perhatian apabila dilaporkan hanya kanak-kanak terbabit menunggu di hospital termasuk saat Akma menghembuskan nafas kira-kira jam 7.15 malam Jumaat
lalu.
BACA JUGA >> MERAKA MASIH ADA DATUK DAN NENEK BUKAN SEBATANG KARA
Labels:
Semasa