Home » » Jumpa serban bercorak salib

Jumpa serban bercorak salib

Written By aku on Friday 4 August 2017 | 1:44 am


HULU BESUT - Jemaah Masjid Haji Isa, Kampung Gong Duek, di sini gempar apabila salah seorang daripada mereka menemui sehelai kain serban yang mempunyai corak mirip bentuk salib dalam masjid berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid berkenaan, Jusoh Md Deli berkata, serban berwarna putih bercorak hitam itu ditemui seorang jemaah masjid selepas solat Maghrib hujung minggu lalu.

Menurutnya, pada mulanya jemaah itu ingin memeriksa serban yang berada di bahagian persalinan jemaah lelaki itu kerana sebelum itu tidak ada serban untuk kegunaan umum di masjid tersebut.

“Bahagian itu biasanya kita letakkan kain pelekat atau kopiah sahaja untuk jemaah lelaki menukar pakaian bersih dan serban tidak pernah diletakkan di situ.

"Bila kita periksa serban itu, jemaah terkejut bila nampak corak pada serban itu menyerupai salib," katanya.

Jusoh berkata, terdapat dua corak menyerupai lambang tersebut iaitu yang nampak dengan jelas dan satu corak benar-benar menyerupai salib tetapi coraknya ada tenggelam sedikit.

"Kami tak tahu siapa yang bertanggungjawab tinggalkan serban itu di masjid berkenaan.

"Kita juga tak tahu motif individu terbabit tinggalkan dekat masjid ini. Adakah mereka dengan sengaja berbuat demikian agar jemaah gunakan serban tersebut atau motif lain," katanya.

Sehubungan dengan penemuan serban bercorak demikian, Jusoh menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada ketika membeli serban malah pastikan serban yang dipakai tidak mempunyai corak yang boleh menghina agam Islam.

“Setakat ini saya tak pasti kes seperti ini ada berlaku di masjid lain di daerah ini dan apa yang jelas perbuatan seperti ini sebenarnya boleh menyentuh sensitiviti umat Islam,” katanya.

Tambahnya, selama beberapa tahun menjadi Pengerusi Jawatankuasa Masjid tersebut, kejadian penemuan serban mempunyai lambang salib dan unsur negatif lain ini adalah kali pertama berlaku di masjid berkenaan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger