Serpihan Dipercayai Milik Pesawat Dibawa Ke Bangkok
Written By aku on Tuesday 26 January 2016 | 7:55 am
BANGKOK – Serpihan yang dijumpai di pantai Nakhon Si Thammarat semalam telah dibawa ke Bangkok hari ini untuk dianalisis lebih lanjut oleh pakar-pakar penerbangan negara itu.
Ini disahkan oleh jurucakap Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF), Naib Marsyal Udara Porngsak Semachai, yang berkata pesawat yang membawa serpihan itu mendarat di pangkalan udara tentera Dong Mueang pada 5 petang (6 petang waktu Malaysia).
“Serpihan itu akan disimpan di pangkalan udara Dong Mueng untuk membolehkan pakar-pakar membuat pemeriksaan selanjutnya,” kata beliau kepada Bernama dalam temu bual melalui telefon di sini, hari ini.
Dua hari lepas, beberapa orang nelayan menjumpai serpihan dipercayai dari bangkai pesawat terdampar di pantai Pa Thya di Nakhorn Si Thammarat dan memaklumkan kepada pihak berkuasa, kerana percaya objek itu ada kaitan dengan Penerbangan MH370 Malaysia Airlines.
Penerbangan MH370 yang dinaiki oleh 239 penumpang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 mac 2014.
Awal hari ini, empat orang pegawai Malaysia, dipercayai dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA) melawat kawasan serpihan itu ditemui untuk mengumpulkan pelbagai data dan bukti sebelum kembali ke Kuala Lumpur. – BERNAMA
Labels:
mh17 mh 370,
Semasa