Home » » Tabung Darul Iman bantu rakyat ditimpa musibah

Tabung Darul Iman bantu rakyat ditimpa musibah

Written By aku on Thursday, 21 January 2016 | 11:28 am


KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi mengisi tabung kebajikan khas, dikenali sebagai Tabung Darul Iman dalam usaha membantu rakyat yang ditimpa musibah atau memerlukan bantuan perubatan di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata tabung berkenaan turut menerima suntikan dana tambahan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM5.1 juta.

"Tabung Darul Iman merupakan penggabungan daripada tiga tabung sedia ada iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial Perubatan bertujuan bagi mengurus dan menyelaras bantuan dengan lebih sistematik dan efisien.

"Penggabungan dibuat bagi mengelak pertindihan permohonan, penyelewengan atau kelewatan dalam memberi bantuan kepada pihak yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Sekretariat tabung berkenaan di Jalan Sultan Ismail, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Osman Muda dan Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof.  

"Selain peruntukan dari kerajaan negeri yang akan ditambah ke dalam tabung itu dari semasa ke semasa, kita juga sedang berusaha bekerjasama dengan mana-mana syarikat berkaitan kerajaan, syarikat swasta dan orang persendirian yang berminat untuk menyalurkan dana.

"Sehubungan itu rakyat tidak perlu risau walaupun keadaan ekonomi tidak stabil, kerajaan negeri tidak akan sesekali mengurangkan perbelanjaan dalam membantu rakyat khususnya yang ditimpa musibah dan memerlukan wang bagi membiayai kos rawatan dan perubatan," katanya.

Katanya, kerajaan negeri menetapkan mana-mana permohonan yang lengkap akan siap diproses dan wang bantuan akan disalurkan kepada pemohon dalam tempoh 15 hari.

Terdapat dua jenis bantuan yang disediakan kepada pemohon yang layak iaitu yang ditimpa musibah seperti ribut, taufan, kebakaran, puting beliung, serangan haiwan liar  atau penyakit terhadap ternakan atau tanaman.

Selain itu, bagi pemohon yang ditimpa penyakit kronik, bantuan pembedahan yang memerlukan 'implan' dan pembelian ubat-ubatan yang tiada dalam senarai Kementerian Kesihatan layak dipertimbangkan.

Maklumat lanjut mengenai tabung berkenaan boleh layari laman web di   .http://stdi.terengganu.gov.my/syarat_kelayakan.php - Bernama

Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger