Najib, Muhyiddin bergilir tinjau keadaan banjir
Written By aku on Thursday, 5 December 2013 | 3:06 pm
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bergilir-gilir meninjau keadaan banjir yang kini melanda beberapa negeri.
Muhyiddin berkata beliau akan ke Mersing, Johor esok, sementara Najib bergegas ke Pahang sebaik sahaja merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
"Oleh kerana kita sedang mengadakan perhimpunan agung dan mesyuarat ini tidak boleh kita tangguhkan, maka kami bergilirlah, saya akan hadir di sini dalam mesyuarat pada hari ini dan esok saya akan turun (ke Johor).
"Yang penting ialah untuk menentukan segala persiapan yang telah kita buat sebelum ini telahpun beroperasi dan digerakkan di bawah panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2013.
Muhyiddin berkata beliau yakin segala aspek termasuk keselamatan, logistik dan bantuan makanan kepada mangsa banjir sudah diuruskan sebaik-baiknya oleh Jawatankuasa Bencana Alam.
"Apa saja bentuk peralatan yang telah kita susun dapat kita gunakan sepenuhnya, untuk menentukan kesan daripada banjir ini tidaklah begitu teruk sekali terutama dari segi menjaga keselamatan dan nyawa penduduk.
"Di samping itu aspek logistik yang perlu kita siapkan baik dari segi makanan dan bantuan lain serta tempat pemindahan itu juga berada dalam keadaan baik," katanya.
Muhyiddin berkata parti Barisan Nasional (BN) juga sudah menggerakkan semua sukarelawan parti itu untuk membantu dari segi pemindahan, bantuan bahan makanan serta peralatan kepada mangsa banjir.
"Ini adalah satu malapetaka bencana alam dan kita perlu hadapi serta tangani dengan sebaik-baiknya supaya ia tidak membawa bencana dan juga maut terutamanya kepada penduduk-penduduk kita," katanya.
- BERNAMA
Labels:
INFO BANJIR TERKINI,
Semasa