KUALA TERENGGANU – Seorang tukang cuci mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan mencabul rakan sekerjanya dengan cara memegang punggung mangsa.
Tertuduh, Johari Ab Kadir, 42, mohon dibicarakan atas dakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul itu.
Dia yang memakai baju lokap berwarna ungu mengaku tidak bersalah menggunakan kekerasan jenayah apabila mencabul dengan memegang punggung kiri mangsa yang berusia 18 tahun, di paip air berhampiran Pondok Polis Lama Pak Kancil, Setiu, kira-kira jam 1 petang, 19 Januari lalu.
Johari berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika disabitkan kesalahan.
Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menetapkan 11 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin, lapor Sinar Harian.