Home » » Nyaris maut ketika kejar pencuri

Nyaris maut ketika kejar pencuri

Written By aku on Friday, 31 January 2014 | 11:40 am

BESUT - Seorang penjawat awam nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas ke dalam parit ketika mengejar suspek yang mencuri bajanya di Kampung Kubang Debu, Jertih, petang kelmarin.

Sebelum itu, lelaki yang hanya mahu dikenal sebagai Lan, 48, mengejar dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal selepas disyaki mencuri 10  kampit baja padi di rumahnya, kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, dua suspek terbabit dipercayai mencuri baja berkenaan ketika dia sekeluarga tiada di rumah kerana mempunyai urusan di Kota Bharu, Kelantan.

“Sebaik saya sampai di rumah, anak saudara saya beritahu ternampak lelaki itu mencuri baja yang diletakkan di tepi rumah.

"Saya terus keluar mencari suspek dengan memandu kereta seorang diri diikuti penduduk kampung yang menaiki motosikal sebelum terserempak dengan suspek di kawasan sawah dekat kampung," katanya.

Lan berkata, menyedari kehadirannya, suspek bertindak melarikan diri dengan motosikal jenis Honda EX5 menyebabkan dia terpaksa mengejar suspek di kawasan jalan kampung dan tepi sawah.

“Selepas  30 minit berlaku aksi mengejar itu, kereta saya hilang kawalan ketika mengambil selekoh menyebabkan kereta saya terbabas ke tepi jalan sebelum terjatuh ke dalam parit.

“Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan dan lelaki yang memang saya kenali itu berjaya melarikan diri,” katanya.

Kata Lan, dia terpaksa menggunakan jentera forklif untuk mengangkat keretanya naik semula ke atas jalan raya sebelum membuat laporan di Balai Polis Jertih.

Dakwanya, kedua-dua suspek berusia 30-an itu adalah penagih dadah dan salah seorang daripada mereka pernah mengejar ibu bapanya sendiri pada minggu lalu kerana hasratnya untuk membeli dadah tidak ditunaikan.

“Akibat gagal mencederakan ibu bapa saya, lelaki berkenaan bertindak memotong tayar motosikal bapa,” katanya yang mengusahakan tanaman padi secara sambilan.

Dia berkata, kejadian kecurian baja di rumahnya itu adalah kali ketiga sepanjang tahun ini dan kejadian pertama beberapa minggu lalu, sebanyak 20 beg baja hilang akibat dicuri diikuti lapan beg dalam kejadian kedua.
--Sinar Harian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger