Home » » Pembangkang fikir rakyat boleh diperkotak-katikkan

Pembangkang fikir rakyat boleh diperkotak-katikkan

Written By aku on Saturday, 1 February 2014 | 1:27 am


SITIAWAN - Tindakan bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh dari PKR mengosongkan kerusi itu pada Isnin lepas membuktikan pembangkang beranggapan rakyat boleh diperkotak-katikkan.
   
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pembangkang sanggup berbuat apa sahaja untuk kepentingan sendiri kerana mereka menganggap apa pun yang dilakukan, rakyat akan akur dan percaya.
   
"Soal pembaziran wang (bagi mengadakan pilihan raya kecil) bagi mereka tidak ada masalah. Jika BN (Barisan Nasional) buat begitu, (bagi mereka) ia suatu dosa dan kalau mereka yang buat, itu pahala besar," katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi rumah terbuka Tahun Baharu Cina bekas Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha di kediamannya di sini, hari ini.
   
Lee memenangi kerusi Dun Kajang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei tahun lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam persaingan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon Bebas.
   
Pada 28 Jan lepas, Penasihat PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil Dun Kajang.
 
Di BEAUFORT, Sabah, Naib Ketua Wanita Umno pusat Datuk Azizah Mohd Dun berkata tindakan Lee jelas tidak menghormati kepercayaan rakyat dan merupakan permainan politik pembangkang.
   
"Belum pun sempat menunaikan tanggungjawab (kepada rakyat), sudah nak letak jawatan.  Inilah permainan politik pembangkang. Selesai sahaja PRU13, kita lihat ada perebutan jawatan untuk menjadi menteri besar Selangor," katanya.
   
Rakyat, khususnya di Kajang, kini sepatutnya dapat menilai jenis pemimpin terbaik untuk mereka, katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran Pengerusi Persatuan Peladang Sabah Datuk Nazri Abdullah sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
   
Azizah, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Wanita Umno akan menyokong sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh BN pada pilihan raya kecil itu nanti. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger