Home » » Di mana Irfan agaknya...

Di mana Irfan agaknya...

Written By aku on Tuesday, 11 February 2014 | 8:09 am


KETIKA penolong jurulatih, Azlan Johar dan pemain tengah T-Team, Khairan Ezuan Razali melafazkan sumpah di depan al-Quran, di Kuala Terengganu, ketiadaan tonggak simpanan, Muhammad Irfan Abdul Ghani, menjadi tanda tanya.

Malam tadi, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengotakan janjinya apabila menyaksikan pemain dan pegawai T-Team bersumpah di depan al-Quran di sebuah hotel, di sini.
Bagaimanapun, Irfan yang menjadi tumpuan berikutan kenyataan mengejutnya dengan mendakwa kejadian itu tidak berlaku, gagal hadir dalam majlis berkenaan walaupun diminta berbuat sedemikian.

Majlis angkat sumpah yang didahului Azlan turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat; Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, pemain dan pegawai T-Team dan Terengganu.
Dalam sumpahnya itu, Azlan menyatakan insiden pemain import, Evaldo Rodrigues ditumbuk dalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada malam 1 Februari lalu, adalah benar dan dia tidak berbohong.


Begitu juga dengan Khairan yang turut menyatakan insiden terbabit memang berlaku.

Sementara itu, Ahmad berkata, majlis angkat sumpah bertujuan membuktikan kenyataan pemain dan pegawai T-Team adalah benar.

"Sumpah ini penting bagi membuktikan keterangan daripada pemain dan pegawai T-Team adalah benar kerana implikasi daripada sumpah ini sungguh besar.

"Sumpah ini juga dibuat kerana sudah timbul dua pendapat berbeza daripada T-Team dan Johor Darul Ta'zim (Johor DT).

"Apatah lagi dakwaan juga dibuat pertahanan T-Team iaitu Irfan. Terpulang kepada Johor DT sama ada akan turut bersumpah atau sebaliknya, yang penting kita buat.

"Bagi membuktikan siapa yang benar dan siapa yang bersalah, dengan cara bersumpah ini dapat membuktikan kebenaran berkaitan insiden terowong di Larkin itu," katanya pada Majlis Menteri Besar bersama pemain dan pegawai T-Team dan Terengganu
.
Mengenai Irfan, beliau harap pemain itu datang bersumpah membuktikan kenyataan yang dikeluarkan adalah benar sebagaimana yang dinyatakan dalam siding media sebelum ini.

"Jika pemain dan pegawai T-Team sanggup bersumpah, saya mengharapkan pemain itu melakukan sumpah untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia dia tidak berbohong," katanya.
--Hmetro

Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger