JERTEH, 6 Feb -- Tiga suspek pengedar dadah termasuk sepasang suami isteri ditahan dalam serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Besut di Kampung Ayer Terjun dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata dalam serbuan pertama kira-kira jam 4 petang semalam sepasang suami isteri berumur 23 dan 17 tahun ditahan di rumah sewa mereka ketika sedang membungkus dadah yang dipercayai untuk diedar kepada pelanggan.
Katanya ekoran penahanan itu, polis menemui 604 biji pil berwarna merah dan hijau yang dipercayai pil kuda (Metamphetamine) bernilai RM12,600...
"Pasangan yang positif dadah itu didapati aktif mengedar dadah di kawasan tempatan kira-kira setahun yang lalu," katanya kepada pemberita di sini Khamis...
Beliau berkata dalam kejadian berasingan kira-kira setengah jam kemudian di kampung sama, polis yang cuba menahan seorang suspek berumur 39 tahun telah diancam dengan pisau.
Ketika pasukan BSJN cuba memasuki sebuah rumah di Kampung Gong Penaga, Ayer Terjun, suspek cuba melarikan diri dengan memegang sebilah pisau sambil mengancam akan menikam anggota polis yang bertugas, kata Kamaruddin...
Bagaimanapun, katanya, atas kebijaksanaan dan kepantasan pasukan, suspek dapat ditewaskan dan sebanyak 26 biji pil berwarna merah dipercayai dadah turut ditemui daripadanya.
Dalam satu kejadian lain, Kamaruddin berkata hasil maklumat awam, polis menahan seorang lelaki berumur 19 tahun dari Kampung Raja yang dipercayai bergiat meleraikan komponen motosikal dan kereta curi...
Ekoran penangkapan itu, polis menemui rangka motosikal dan kereta yang dibuang ke dalam sebuah tali air di kawasan rumah ibu bekalan dan pintu air pasang surut, Skim Pengairan Pengkalan Nangka, katanya.
-- BERNAMA