Pengawal tak mengaku cabul budak 3 tahun
Written By aku on Tuesday, 4 February 2014 | 10:49 am
RASAH 3 Feb. - Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Sikamat pada September tahun lalu.
Tertuduh, Rosli Abd Rani, 55 membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa.
Berpandukan pertuduhan, Rosli didakwa menganiaya secara seksual dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa di sebuah rumah di Taman Desa Rhu, Sikamat antara pukul 7.30 pagi hingga 6 petang pada 23 September tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (b) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammad Zainudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh yang memohon ikat jamin sebanyak RM5,000 diarahkan melantik peguam dan sebutan semula kes berkenaan akan diadakan pada 3 Mac.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Labels:
Jenayah