Anak ugut sembelih ibu
Written By aku on Tuesday, 4 February 2014 | 10:30 am
KAMPUNG RAJA - Seorang anak tergamak mengugut menyembelih ibu sendiri menggunakan pedang selepas berang kerana mangsa cuba meleraikan pergaduhannya dengan adiknya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Gong Kemuntong, dekat Jertih di sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 39 tahun dikejutkan dengan bunyi bising dari dalam rumah.
Menurut sumber, mangsa mendapati suspek berusia 22 tahun sedang memarahi adiknya disebabkan tidak mahu mendengar arahannya.
“Sebelum itu, suspek dikatakan ada meminta adiknya untuk membuat sesuatu tetapi si adik enggan menyebabkan suspek naik angin sebelum memaki hamun adiknya.
“Wanita terbabit cuba meleraikan pergaduhan itu dengan menumbuk bahu kiri suspek supaya suspek memberhentikan perbuatannya,” katanya.
Bagaimanapun tindakan mangsa itu mengundang kemarahan suspek yang meluru masuk ke dalam bilik dan mengambil sebilah pedang lalu mengacukan senjata tajam itu ke arah mangsa.
Sumber berkata, suspek yang bagaikan dirasuk turut mengugut mahu menyembelih mangsa menyebabkan wanita itu lari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
Mangsa yang bimbang keselamatannya dan ahli keluarga lain membuat laporan di Balai Polis Jertih untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, suspek ditahan polis beberapa jam selepas kejadian tersebut di rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Menurutnya, saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
--Sinar
Labels:
Jenayah