Home » » Terkedu diserbu polis ketika tunggu pelanggan

Terkedu diserbu polis ketika tunggu pelanggan

Written By aku on Friday, 18 July 2014 | 1:24 pm


BESUT - Dua lelaki yang dipercayai sedang menunggu untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggan di dalam sebuah kereta terkedu selepas mereka diserbu sepasukan polis Ahad lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Besut berjaya menahan dua suspek berusia 24 dan 31 tahun di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kuala Besut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, bertindak atas maklumat, polis telah menahan pemandu dan penumpang yang berada di dalam kereta Perodua Kancil tersebut.

Menurutnya, polis mendapati terdapat satu bungkusan surat khabar dalam tangan suspek yang berusia 24 tahun itu.

“Apabila diperiksa terdapat tiga botol plastik cerah berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dan tiga paket plastik berwarna biru berisi 600 biji pil dipercayai dadah jenis methamphertamine (pil kuda). Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM12,000,” katanya.

Noorzainy berkata, kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan saringan air kencing mendapati  kedua-dua suspek positif dadah jenis pil kuda.

Kata beliau, sebuah kereta Perodua Kancil yang dipercayai ada kaitan dengan suspek turut disita untuk siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati dan Seksyen 15(1) akta yang sama.
--sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger