Hujan berterusan, paras air kembali naik
Written By aku on Thursday, 8 January 2015 | 9:46 pm
KUALA KRAI - Hujan berterusan sejak malam kelmarin menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar daerah ini kembali dinaiki air selepas banjir besar, minggu lalu, hampir pulih sepenuhnya.
Pekarangan beberapa kediaman di kawasan rendah termasuk di Kampung Bedal, dekat sini, yang hanya kelihatan bumbung ketika banjir besar, baru-baru ini, turut dinaiki air.
Ini kali ketiga rumah penduduk terbabit dinaiki air pada musim tengkujuh kali ini termasuk banjir besar ketika gelombang kedua yang memusnahkan ratusan rumah di daerah ini.
Kejadian air naik itu menyebabkan ada barangan penduduk yang sedang dikeringkan akibat banjir besar, baru-baru ini, seperti tilam sekali lagi ditenggelami air.
Hujan ada kalanya lebat itu juga menyebabkan laluan menghubungkan beberapa kampung dengan Jalan Kuala Krai-Machang melalui Bukit Sireh dinaiki air, namun masih boleh dilalui kenderaan sehingga jam 4 petang.
Antara halaman rumah dinaiki air pula termasuk kediaman bekas Yang Dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kampung Bedal, Mohd Noor Salleh.
Ketika banjir besar melanda kampung itu, 24 Disember lalu, rumah Mohd Noor seperti rumah kebanyakan penduduk hanya kelihatan bumbung akibat ditenggelami air.
Keadaan sama berlaku di beberapa kawasan seperti Kampung Batu Jong yang menyaksikan laluan ke tanah perkuburan Islam kampung itu dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan.
Menurut jangkaan penduduk, jika cuaca hujan berterusan, laluan masuk ke kampung itu akan terputus hubungan kerana jalan di Chekok Sudin akan dinaiki air.
--Sinar harian
Related Articles
- Empat Keluarga Masih Di Pusat Pemindahan Banjir Masjid Kampung Oh
- 4 keluarga dipindah ke pusat penempatan di Jerteh
- Paras Air Sungai Terkini Yang Telah Melepasi Aras Amaran Di Terengganu
- Terkini Banjir: Jumlah mangsa di Terengganu meningkat
- Senarai Jalan Jalan Yang Masih Ditutup
- Tekini 2 jalan di Kemaman ditutup kepada semua kenderaan Akibat Banjir
Labels:
INFO BANJIR TERKINI,
Semasa