Home » » Sindiket curi lori, kereta tumpas

Sindiket curi lori, kereta tumpas

Written By aku on Thursday 6 August 2015 | 12:47 pm


KAMPUNG RAJA  - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi lori dan kereta, susulan tangkapan lima lelaki menerusi Ops Lejang di sekitar daerah ini yang diadakan selama dua minggu bermula 14 Julai lalu.

Tangkapan itu susulan penubuhan pasukan Khas Lejang untuk mengesan dan menangkap Geng Topok yang dikatakan aktif melakukan aktiviti mencuri lori dan kereta.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 30 tahun itu ditangkap dalam tiga serbuan di lokasi berasingan di sekitar Kuala Besut dan Pasir Akar, Hulu Besut.

Menurutnya, dengan penangkapan itu polis berjaya menemui semula tujuh kenderaan termasuk satu rangka sebuah kereta Proton Wira bersama enjin yang dipercayai dicuri suspek.

“Tiga daripada tujuh kenderaan terbabit adalah lori, tiga kereta (termasuk satu rangka) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Khaled berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang dirampas itu dilaporkan hilang di beberapa kawasan iaitu Beserah dan Jaya Gading, Pahang; Ayer Jernih Kemaman dan Cabang Tiga di Terengganu serta Kubang Kerian, Kelantan sebelum ini.

Kejayaan polis menangkap kesemua suspek dan barang kes susulan penangkapan suspek pertama berusia 30 tahun pada 14 Julai lalu di kawasan Pasir Akar.

Saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah termasuk suspek berusia 27 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah dan dadah.

Siasatan lanjut mendapati, kereta-kereta curi itu digunakan suspek dalam kegiatan jenayah, manakala lori pula digunakan dalam kegiatan mengangkut kayu curi dari hutan di Hulu Besut.

Penangkapan itu merupakan kejayaan besar bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut dalam menyelesaikan kes kecurian kenderaan sepanjang tahun ini.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger