Home » » Galak pelihara lembu sendiri

Galak pelihara lembu sendiri

Written By aku on Saturday 28 November 2015 | 12:31 pm


KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menggalakkan orang perseorangan memelihara lembu sendiri bagi mengatasi kebergantungan import haiwan ternakan itu, dan seterusnya menstabilkan harga daging tersebut di pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad berkata, masalah bekalan lembu bukan hanya dihadapi di negeri ini, tetapi juga di dalam negara terutamanya ketika musim perayaan.

Menurutnya, kekurangan bekalan daging menimbulkan masalah sekali gus menyaksikan kenaikan harga ekoran keadaan sedemikian.

“Sebab itu, kita galakkan lebih ramai individu ternak lembu atau kambing sendiri di rumah, terutama bagi mereka yang mempunyai kawasan tanah yang luas dan sesuai untuk menternak haiwan peliharaan ini.

“Selain melakukan pelbagai aktiviti, menternak haiwan juga boleh dijadikan sebagai satu hobi bermanfaat.  

“Jika satu rumah boleh pelihara dua tiga ekor lembu, ia akan menambah bilangan penawaran lembu dan seterusnya dapat menstabilkan harga. Sekarang ini (kita) terpaksa import lembu untuk menyelesaikan masalah bekalan daging. Ini menunjukkan permintaan tinggi tetapi penawaran kurang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah Pertandingan Mr dan Ratu Lembu 2015 di Dataran Kaprima, Pejabat Jabatan Veterinar (JPV), Kuala Terengganu, di sini, kelmarin.

Menurutnya, sekarang harga daging segar mencecah RM29 sekilogram malahan peniaga juga bergantung kepada jumlah bekalan daging import yang masuk ke negara ini.

“Penganjuran pertandingan Mr dan Ratu Lembu 2015 yang diadakan ini juga adalah sebagai satu galakan supaya lebih ramai yang memilih untuk menternak lembu secara serius,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger