Home » » Kerajaan cadang hapuskan hukuman mati mandatori

Kerajaan cadang hapuskan hukuman mati mandatori

Written By aku on Wednesday 18 November 2015 | 8:08 am


KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang mengemukakan Rang Undang-undang untuk menghapuskan hukuman mati mandatori ke atas beberapa jenayah berat terutama berkaitan kesalahan dadah dan pemilikan senjata api.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata Rang Undang-undang yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan itu, akan menyerahkan kembali hukuman terhadap pesalah atas budi bicara hakim.

"Kami sudah bertemu dengan wakil beberapa negara lain yang mahu berbincang dan mendesak kita (menghapuskan hukuman mati).

"Kerajaan berminat melakukan apa yang dibuat di negara lain tetapi sudah tentu kita mempunyai had sendiri.

"Saya sudah berbincang dengan Peguam Negara dan beliau begitu menyokong dan saya sedar ia agak sukar untuk Malaysia...tetapi saya berharap ia dapat dilakukan dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perbincangan meja bulat Tindakan Global Anggota Parlimen (PGA) mengenai Penghapusan Hukuman Mati di Malaysia, di sini hari ini.

Ia disertai Anggota Parlimen dari Malaysia, Australia, Switzerland dan United Kingdom; wakil kerajaan dan pakar yang membincangkan implikasi menghapuskan hukuman itu ke atas kesalahan dadah dan pemilikan senjata api di negara ini serta mengenal pasti strategi dan tindakan untuk bergerak ke hadapan.

Nancy yang juga menteri bertanggungjawab berkaitan undang-undang berkata kerajaan juga akan melihat aspek lain kerana masalah yang dihadapi hakim ketika ini adalah mereka terikat dengan hukuman mati mandatori.
 - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger