Home » » Tempatkan doktor di pusat pemindahan banjir

Tempatkan doktor di pusat pemindahan banjir

Written By aku on Friday 20 November 2015 | 4:28 pm


BESUT - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan menempatkan doktor dan kakitangan kesihatan di pusat-pusat pemindahan banjir sebaik sahaja berlaku banjir musim tengkujuh nanti di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, seorang doktor akan ditempatkan sepenuh masa bagi pusat-pusat pemindahan mangsa banjir yang melebihi 1,000 orang manakala lawatan berkala doktor pula akan dilakukan bagi pusat-pusat pemindahan yang mempunyai bilangan mangsa yang kurang daripada itu.

Katanya, untuk itu JKNT telah membuat persediaan awal dengan membuat pemantauan bagi menyiapkan jadual bertugas membabitkan pegawai dan kakitangan kesihatan di setiap daerah.  

"JKNT juga telah membuat bancian terhadap kakitangan kesihatan yang terlibat dengan banjir disamping mengenal pasti klinik-klinik kesihatan yang kemungkinan terjejas dengan memastikan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan terlebih dahulu diletakkan di tempat-tempat yang selamat.

"Ini bagi memastikan mangsa-mangsa banjir dan orang ramai akan mendapat rawatan seperti biasa tanpa terjejas walaupun ketika banjir melanda kawasan-kawasan di negeri ini nanti," katanya pada sidang media di sini, hari ini.  

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Pehimi berkata, stok ubat-ubatan juga sedang dipantau bagi memastikan ianya mencukupi di musim banjir.

Katanya, kerajaan negeri telah menetapkan sebanyak 521 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri kali ini yang mampu menempatkan 122,552 orang mangsa banjir yang lebih ramai berbanding tahun lalu hanya untuk 80,000 orang sahaja.    

Menurutnya lagi, sebanyak 162 pengkalan hadapan diwujudkan di seluruh negeri dengan 14 depoh (setor) barangan makanan yang boleh menampung keperluan untuk selama seminggu turut disediakan di daerah-daerah dengan depoh utamanya terletak di Pulau Kerengga, Marang. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger