Home » » Nahas di LPT2: 45 minit tahan sakit

Nahas di LPT2: 45 minit tahan sakit

Written By aku on Friday 20 November 2015 | 4:51 pm


KEMAMAN – Azab ditanggung seorang pemandu lori tangki yang tersepit di tempat duduk selama 45 minit, berakhir apabila dikeluarkan pasukan bomba dalam nahas melibatkan tiga lori di Kilometer 273.5 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat susur keluar Cheneh, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa yang berumur 27 tahun, diselamatkan 10 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh dengan bantuan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng yang bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 1.44 pagi.

Dua lagi lori yang terbabit dalam kemalangan itu ialah lori lima tan yang sarat dengan muatan kayu dan ketiga-tiga kenderaan berat itu dalam perjalanan ke arah sama, dari Kuala Terengganu ke Kuantan.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila tayar salah sebuah lori sarat muatan kayu tiba-tiba pecah, mengakibatkan sebuah lagi lori muatan kayu yang mengekori di belakang cuba mengelak sebelum dirempuh lori tangki.

Akibat kejadian itu, kepala lori tangki remuk teruk dengan kayu berselerakan di sekelilingnya selepas lori yang dilanggar, terbalik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hasbullah Halipah berkata, pasukannya tiba di lokasi kejadian pada jam 1.50 pagi dan segera melakukan kerja pemotongan bahagian kepala lori tangki untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit pada bahagian kaki.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk diberikan rawatan segera kerana cedera di bahagian kaki,” katanya.

Keadaan kayu yang berselerakan di sekitar kepala lori tangki itu bukan halangan untuk pegawai dan anggota bomba melakukan kerja dengan pantas.

Bagaimanapun, kedua-dua pemandu lori lima tan yang berusia lingkungan 20-an, terselamat dan tidak cedera.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger