Home » » Kilang benih padi bernilai RM6j di Besut

Kilang benih padi bernilai RM6j di Besut

Written By aku on Monday, 8 February 2016 | 8:20 pm


KUALA TERENGGANU - Sebuah kilang benih padi Sah bernilai RM6 juta akan dibina di Besut untuk memanfaatkan pesawah di Terengganu, kata Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu, Abd Mubin Abd Razak.

Beliau berkata LPP akan memulakan kerja menambak tanah di sebuah tapak yang telah dikenal pasti tidak lama lagi.

"Kilang benih padi hibrid bermutu tinggi itu dibina bagi memenuhi keperluan bekalan padi Sah untuk penanam padi di seluruh Terengganu. Sebelum ini, benih padi diperoleh dari luar negeri ini.

"Dengan projek ini, kami mahu pastikan petani di negeri ini terbela dan mendapat benih padi yang bermutu tinggi," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sebelum ini, sebuah kilang padi dan beras dibina di Pasir Akar, Besut dan dijangka siap akhir tahun ini sebelum beroperasi tahun depan.

Abdul Mubin berkata projek itu mendapat kerjasama Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (Ketara) dan pihak berkaitan dengan kualiti benih padi.

Kilang itu mampu mengeluarkan kira-kira 3,800 metrik tan benih padi Sah setahun apabila siap kelak.

Terdapat kira-kira 13,000 hektar kawasan tanaman padi di Terengganu dengan Besut dan Setiu mempunyai 9,000 hektar kawasan sawah yang merupakan 75 peratus pengeluaran padi di negeri ini.

"Dengan adanya rantaian nilai hasil benih padi Sah, LPP memainkan peranannya untuk melahirkan peladang progresif, aktif, berpengetahuan mengikut amalan pertanian yang baik bagi melonjak pendapatan golongan peladang di negeri ini," katanya. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger