MERANG – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan memperuntukkan RM5 juta untuk menjadikan Tanah Bencah Setiu atau Setiu Wetlands sebagai satu lagi lokasi pelancongan tersohor di negeri ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Zainal Abidin Hussin berkata, projek akan dikendalikan Majlis Daerah Setiu itu melibatkan infrastruktur, penjagaan ekosistem dan mempromosikan kawasan berkenaan.
Menurutnya, buat permulaan, sebanyak 400 hektar daripada 1,743 hektar kawasan akan diwartakan, meliputi laguna dan pantai yang mengunjur dari Kampung Beting Lintang ke Kampung Mangkok.
“Kita berterima kasih dengan peruntukan diberikan kementerian kepada kerajaan negeri untuk menyokong sektor pelancongan di negeri ini, yang sememangnya diketahui mempunyai keunikan dan keindahan tersendiri.
“Malah, seperti yang diketahui, kerajaan negeri dalam proses untuk mewartakan Tanah Bencah Setiu sebagai Taman Negeri-Tanah Bencah pertama di Terengganu,” katanya sebaik menyempurnakan Majlis Perasmian Bengkel Pemuliharaan dan Ekopelancongan Kelip-kelip di Tanah Bencah Setiu ‘Ke Arah Kehidupan Lestari’ di Sutra Beach Resort, Selasa lalu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Hidupan Liar (WWF), Datuk Dr Dionysius K Sharma; Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan serta Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu, Zanariah Zakaria.
Menurut Zainal Abidin, kerajaan negeri juga komited dan menghargai usaha Yayasan Diraja Sultan Mizan yang turut memainkan peranan bagi memajukan lagi kawasan tanah bencah berkenaan.
Beliau yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu turut memaklumkan, kerja mengukur tanah bermula sejak akhir tahun lalu dan dijangka selesai pada pertengahan tahun ini.