Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad membidas pemimpin PAS Terengganu sebagai ‘memilih program’ untuk turun padang dan mendekati rakyat.
Katanya, PAS dilihat berpura-pura mahu mendengar masalah rakyat dan akan ‘menjelma’ apabila adanya pilihan raya atau kepentingan tertentu.
Berikut sedutan ucapan Pengerusi Amanah Terengganu dalam satu ceramah Pakatan Harapan di Jalan Balai Besar, Dungun malam tadi.
“Semalam mereka (PAS) telah sebar kononnya anjing DAP yang akan menyalak sampai di Dungun malam ini. Tak apalah tuan-tuan dan puan-puan, kita menyalak demi kebaikan rakyat.
Sebelum ini, kita (Amanah) naik trak bersyarah di pasar malam. Dia (PAS) kata kita macam orang jual ubat. Tak apa lah jual ubat, kita tidak caj, kita tidak minta pitis pun. Terpulang kepada rakyat nak terima atau tidak, sebab itu tanggungjawab kita.
Tetapi, mereka (Pemimpin PAS) ini kalau tak ada pilihan raya, tidak ada apa-apa kepentingan tidak nampak batang hidung. Dia (Pemimpin PAS) hanya nak majlis besar, berpuluh ribu hadir baru nak turun.
Kita (amanah) tak apa, 10 orang pun kita ceramah juga, itu sikap kita.”