Pengunjung Pulau Perhentian terkandas
Written By aku on Monday, 8 February 2016 | 12:31 pm
KUALA BESUT – Lebih 100 pelancong yang bercuti di Pulau Perhentian, terkandas di pulau peranginan itu sejak kelmarin apabila angin kencang dan ombak besar menyebabkan bot laju tidak dapat beroperasi.
Pengerusi JKKK Pulau Perhentian, Zainuddin Mohamad berkata, keadaan cuaca buruk yang bermula Khamis lalu, berbahaya untuk bot kecil termasuk bot laju yang digunakan untuk membawa pelancong.
Menurutnya, mereka yang tidak dapat pulang ke jeti pelancongan di Kuala Besut sejak kelmarin, kini tinggal di penginapan masing-masing.
"Sekiranya cuaca baik tak kira waktu pagi atau petang, bot akan beroperasi untuk membawa pelancong ke Kuala Besut.
“Bagi kami (penduduk pulau), keadaan ombak macam sekarang boleh masuk (pulang) ke Kuala Besut, tapi bagi orang tidak biasa, memang takut. Jabatan Laut juga melarang bot pelancong beroperasi dalam keadaan seperti ini kerana berisiko,” katanya.
Sementara itu, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Abd Rahman membantu kira-kira 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut yang tidak dapat pulang ke kampung (di Pulau Perhentian) untuk bercuti sekolah sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, pelajar terlibat kini tinggal di asrama dengan dipantau pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Kita pastikan mereka tidak menghadapi masalah makanan dan keselamatan sebelum dapat pulang kampung masing-masing,” katanya.
Labels:
Semasa