Anggota Suksis diberi pendedahan
Written By aku on Tuesday, 15 March 2016 | 10:42 am
KAMPUNG RAJA - Seramai 60 anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswa (Suksis) Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) diberi pendedahan mengenai prosedur standard (SOP) mengadakan sekatan jalan raya di sekitar daerah ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Kamsani Hasan berkata, latihan tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada anggota Kor terbabit mengenai produser mengendalikan sekatan jalan raya dan penguatkuasaan akta.
Menurutnya, mereka diberi latihan teori dan hanya memerhati operasi sekatan jalan raya yang dilaksanakan pegawai dan anggota trafik di dua daripada 14 lokasi sekatan jalan raya dalam Ops Khas Penguatkuasaan Trafik selama tiga hari di daerah ini.
"Mereka dibawa ke lapangan untuk melihat sendiri bagaimana sekatan dijalankan di dua lokasi iaitu di jalan Kampung Beris Pak Abu dan Kampung Lampu di samping penerangan oleh Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Superintenden Abdul Halim Abdullah,” katanya.
Kamsani berkata lagi, melalui pendedahan itu anggota kor tersebut diberi tunjuk ajar mengenai cara yang betul untuk memeriksa kad pengenalan, lesen memandu, cukai jalan serta pemeriksaan kenderaan.
Sementara itu sepanjang Ops khas Penguatkuasaan Trafik di 14 lokasi membabitkan tiga pegawai dan 19 anggota trafik itu telah memeriksa sebanyak 1,357 kenderaan terdiri daripada 713 buah kereta, motosikal (408), lori (112), bas (82) dan van 42 buah.
“Hasil pemeriksaan itu sebanyak 281 kompaun telah dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai tali pinggang keledar, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, lampu brek tidak menyala dan beberapa kesalahan lain,” katanya.
Menurutnya lagi, daripada keseluruhan saman dikeluarkan pengguna kereta paling tinggi dikenakan saman iaitu sebanyak 138 diikuti motosikal (113), lori (15), kenderaan pacuan empat roda (8), kenderaan pelbagai guna (MPV) sebanyak 5 sama serta van hanya 2 saman.
Dalam perkembangan sama Abdul Halim mengingatkan ibu bapa agar tidak membenarkan anak masing-masing menunggang motosikal tanpa memiliki lesen atau pelindungan insurans.
“Tindakan ibu bapa mengambil ringan perkara ini amat mendukacitakan kerana sekiranya berlaku perkara tidak diingini ia akan menimbulkan kesulitan kepada mereka,” katanya.
Labels:
Semasa