Home » » Berjaya berkat ketegasan guru

Berjaya berkat ketegasan guru

Written By aku on Wednesday 9 March 2016 | 7:54 pm


HULU BESUT - Berkat ketegasan guru dalam mendidik menjadi antara faktor penyumbang kejayaan besar kepada anak jati Kampung Gong Duek di sini, Mohamad Huzaimy Jusoh, 36, sehingga beliau dikenali ramai.

Bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Keladi yang kini bergelar Dr Mohamad Huzaimy mengaitkan kejayaan besarnya berkat ketegasan guru ketika mendidik terutamanya seorang guru bernama Mat Latiff Ali.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu mengharumkan nama negara apabila menjadi salah seorang daripada lapan saintis Malaysia pertama ke Antartika 2016 dengan menaiki kapal layar.

Beliau yang merupakan Ketua Ekspedisi Saintis Malaysia ke Kutub Selatan pada 13 Januari hingga 14 Februari lalu dengan membawa misi kajian pelbagai bidang ilmu sains dan biologi.

“Kejayaan saya nikmati ini tidak dinafikan bertitik tolak daripada didikan peringkat awal sekolah lagi iaitu ketika saya belajar dari darjah satu hingga beberapa bulan dalam darjah enam di SK Alor Keladi yang merupakan sekolah pertama saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir memberi motivasi kepada murid SK Alor Keladi, sekolah pertama dikunjungi selepas pulang daripada ekspedisi tersebut.

Menurutnya, beliau tidak dapat melupakan ketegasan Cikgu Mat Latiff ketika berada dalam darjah empat dan lima sekiranya gagal mengingati sifir matematik.

“Ketegasan Cikgu Mat Latif menyebabkan saya dan rakan-rakan belajar bersungguh-sungguh dan menghafal sifir sekali gus menyebabkan ramai murid cemerlang dalam mata pelajaran matematik,” katanya yang menamatkan pengajian Doktor Falsafah (Ph.D)  beliau di Kyushu Universiti, Jepun.

Mohamad Huzaimy berkata, paling membanggakan apabila mengetahui Guru Besar SK Alor Keladi sekarang disandang bekas gurunya yang tegas itu iaitu Cikgu Mat Latiff.

Kata beliau, kedatangannya semula ke sekolah tersebut merupakan detik paling bermakna kerana bukan sahaja dapat menjejak kaki semula ke sekolah luar bandar itu, tetapi bertemu bekas guru di samping memberi motivasi kepada murid-murid.

Menceritakan pengalamannya kepada murid, beliau berkata, cabaran besar dihadapi ketika pelayaran daripada Pelabuhan Ushuaia di Argentina ke Antartika apabila terpaksa berdepan ombak setinggi enam meter dan angin kencang dengan kelajuan sehingga  80 kilometer sejam.

“Alhamdulillah walaupun berdepan banyak cabaran, saya bersama kumpulan penyelidik dari enam universiti awam dan swasta berjaya mencapai matlamat dengan membawa pulang lebih 200 sampel dari benua itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang ekspedisi dibiayai geran penyelidikan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) ke benua berkenaan dan mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Beliau turut berpesan kepada murid agar belajar bersungguh-sungguh, jaga kesihatan dan jangan rendah diri walaupun belajar di sekolah luar bandar kerana sejarah telah membuktikan ramai pelajar luar bandar kini menjadi insan berjaya dalam pelbagai bidang.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger