KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Umno Cheras dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebentar tadi atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap akaun semasa Umno cawangannya membabitkan cek bernilai RM4,350 dua tahun lalu.
Zamri Redzuan, 50, mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu dengan memasukkan cek jumlah tersebut ke dalam akaun peribadinya yang sepatutnya dibayar kepada tukang jahit namun ia tidak dibayar sepenuhnya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Cheras, dekat sini pada 27 Januari 2014.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khairul Anuar Wahab mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Jika disabit dengan kesalahan, Zambri yang juga Ketua Umno Cawangan Jalan Pasar Pudu bakal berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan jaminan RM8,000 dan menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes.