Home » » Terengganu Potong Gaji Bulanan MB, Exco, Wakil Rakyat Untuk TDI

Terengganu Potong Gaji Bulanan MB, Exco, Wakil Rakyat Untuk TDI

Written By aku on Wednesday, 23 March 2016 | 11:27 am


Terengganu akan melaksanakan pemotongan gaji bulanan Menteri Besar, Exco dan wakil rakyat untuk disalurkan kepada Tabung Darul Iman (TDI) demi manfaat rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sebagai permulaan, sebanyak 10 peratus gajinya dipotong setiap bulan untuk disumbangkan kepada TDI.

“Borang persetujuan pemotongan gaji akan diedarkan kepada barisan Exco dan wakil rakyat, selain kita menggalakkan penjawat awam di negeri ini untuk turut sama menyumbang kepada TDI.

“Setiap bulan, kita memerlukan sebanyak RM800,000 untuk tabung ini. Jadi kita perkenalkan konsep ini untuk TDI yang diuruskan di bawah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof,” katanya ketika menghadiri Program Jamuan Bersama Rakyat DUN Pengkalan Berangan, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A.Latiff Awang yang juga ADUN Pengkalan Berangan.

Bagaimanapun, Ahmad Razif tidak menyatakan bila pemotongan gaji itu dimulakan dan tempoh pelaksanaannya.

TDI yang dilancarkan kerajaan negeri pada Januari lepas bertujuan meringankan penderitaan rakyat yang memerlukan perhatian segera terutama mereka berdepan musibah dan penyakit kritikal.

TDI merupakan penggabungan tiga tabung sedia ada iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial Perubatan, yang memudahkan urusan mengurus dan menyelaras bantuan dengan lebih sistematik dan efisien.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger