Tak sertai himpunan bererti PAS sokong Umno, kata PAN
Written By aku on Wednesday, 2 March 2016 | 11:28 pm
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) hari ini menganggap tindakan PAS tidak menyertai himpunan bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur menunjukkan ia menyokong kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung PAN, Anuar Tahir berkata pendirian PAS itu ternyata tidak selari dengan pegangan parti yang masih berstatus pembangkang biarpun tidak menyertai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH).
"Semua orang ada kemampuan untuk membuat pendirian, kalau PAS telah mengambil pendirian untuk tidak bersama, ertinya ia menyokong pentadbiran sedia ada. Itu hak mereka dan saya rasa tidak perlu dipujuk kerana mereka adalah satu parti politik yang sudah lebih 60 tahun, yang sudah boleh membuat keputusan, saya percaya mereka ambil keputusan berdasarkan kepada pendirian mereka," katanya kepada Antarapos.
Sudah terang lagi bersuluh, pendirian PAS katanya jelas menyokong kepimpinan Najib apabila Datuk Seri Hadi Awang mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu tidak menyokong politik kebencian dan emosi.
"Umum ketahui bahawa Datuk Seri Hadi Awang dan kepimpinan PAS termasuk Mursyidul Amnya memberikan sokongan yang jitu kepada pentadbiran Najib, sedangkan kami dalam Pakatan Harapan melihat bahawa masa untuk Najib melepaskan jawatanya sudah tiba," katanya.
Presiden PAN, Mohamad Sabu turut menyifatkan kenyataan Hadi bahawa PAS tidak akan turut serta dalam himpunan berkenaan sebagai sesuatu yang pelik.
Semalam Hadi dilaporkan berkata beliau tidak akan menyertai sebarang himpunan bagi mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya kerana parti itu hanya anti-Umno dan bukan anti-Najib.
Dalam pada itu, PAN berkata parti itu sedia bersama mana-mana gerakan yang akan berusaha ke arah menyelamatkan Malaysia termasuk bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang sebelum ini mengumumkan keluar dari Umno buat kali kedua sebagai protes terhadap kepimpinan Najib.
"Itulah bezanya, kami tidak mengira kepentingan parti, yang kami utamakan ialah kepentingan rakyat kerana adanya satu parti yang kami tidak senangi dalam satu keadaan itu tidak semestinya kita tidak boleh bersama.
"Ada hal yang misalnya menentang kezaliman dan penyalahguaan kuasa. Oleh kerana ada lawan kita di situ maka kita mengambil keputusan menarik diri menunjukkan bahawa kita tidak matang dan apakah itu yang dikatakan ada kematangan politik disitu ada pada mereka (PAS)," katanya.
Perhimpunan bakal diadakan pada 27 Mac ini adalah bagi mendesak Najib melepaskan jawatannya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang menganjurkan perhimpunan itu berkata, perjumpaan itu bukan bantahan awam dan diadakan secara tertutup.
Labels:
Politik