Home » » Bantah anjur ‘pesta liar’

Bantah anjur ‘pesta liar’

Written By aku on Tuesday, 19 April 2016 | 3:53 pm


KAMPUNG RAJA - Usaha pihak tertentu yang mahu menganjurkan Pesta Pantai Bulan Mengambang di Pulau Perhentian Kecil bermula hari ini hingga esok (19 dan 20 April) mendapat bantahan pelbagai pihak.

Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Besut serta beberapa NGO tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada jam 4 petang semalam kerana khuatir acara tersebut akan menimbulkan pelbagai kesan negatif terutama kepada golongan remaja.

Ketua Pemuda Umno Besut, Azizul Jasmi Mohamed berkata, pesta dirancang diadakan di Pasir Panjang itu biasanya disusuli dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral seperti penyalahgunaan dadah, minum minuman keras dan seks bebas.

Justeru katanya, laporan polis dibuat bagi mendesak penganjur membatalkan penganjuran pesta itu dan sekiranya penganjur berdegil, beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan secara berhemah bagi menghentikan acara tersebut.

“Sekiranya pesta itu terus berjalan tanpa sebarang tindakan, kita mungkin terpaksa buat sesuatu dengan cara sendiri. Kita bimbang pesta liar itu akan mempengaruhi anak muda di Pulau Perhentian,” katanya selepas membuat laporan polis.

Bimbang terdedah aktiviti tidak sihat

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Besut, Erniesalwani Saidi berkata, jika tidak dibatalkan, penganjuran pesta ‘liar’ itu dikhuatiri boleh mengganggu ketenteraman pelancong dan penduduk setempat, apatah lagi ia tidak sesuai dengan budaya tempatan serta ajaran Islam.

“Kami desak pihak berkuasa tarik balik permit (sekiranya telah mengeluarkan permit) dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Pengerusi JKKK Pulau Perhentian, Zainuddin Mohamad yang mewakili penduduk setempat, turut membantah penganjuran pesta itu.

Katanya, walaupun lokasi penganjuran agak jauh dari penempatan penduduk, tetapi masih boleh diakses dengan mudah sama ada melalui jalan darat atau bot.

“Kami bantah pesta yang ada unsur negatif. Kami telah mengadakan pertemuan dengan pemilik chalet (yang dikatakan akan menjadi lokasi pesta itu), termasuk cuba mengenal pasti sekiranya ada chalet lain yang menganjurkan pesta itu.

“Bagaimanapun, pemilik chalet mendakwa tidak tahu menahu mengenai pesta itu, malah tiada sebarang tempahan dibuat (bagi tarikh tersebut) daripada mana-mana pihak,” katanya yang percaya pesta itu dianjurkan orang ‘asing’.

Kata Zainuddin, pihaknya juga akan membuat laporan di Pondok Polis Pulau Perhentian mengenai rancangan mengadakan pesta itu.

Tiada permohonan daripada pihak penganjur

Setiausaha MDB, Fakrulrazi Ibrahim berkata, MDB setakat ini tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menganjurkan pesta itu.

Katanya lagi, pihaknya maklum mengenai promosi penganjuran pesta itu dan menjadi kesalahan sekiranya dianjurkan tanpa kebenaran.

“Sekiranya ada permohonan sekalipun, kita (MDB) tidak akan luluskan kerana pesta seperti itu boleh menimbulkan perkara negatif,” katanya yang turut menghantar pasukan khas terdiri daripada penguat kuasa MDB bagi memantau perkembangan di pulau itu pada tarikh dinyatakan.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hasan, pihaknya mengesahkan menerima laporan dibuat pertubuhan tersebut.

Katanya, polis tidak menerima sebarang permohonan daripada penganjur untuk mengadakan pesta itu.

“Polis akan bekerjasama dengan agensi lain untuk memantau perkara ini dan bertindak mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman turut melahirkan kekesalan kerana ada pihak, dipercayai bukan orang tempatan, berhasrat untuk mengadakan acara seperti itu yang lazim akan berlaku banyak aktiviti tidak sihat.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancong dan Kebudayaan negeri difahamkan, pesta itu akan membabitkan pelancong dari dalam dan luar negara setelah dihebahkan menerusi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

“Kita tidak mahu pulau peranginan di Terengganu dicemari dengan kegiatan tidak bermoral. Kerajaan negeri akan bertindak tegas untuk tidak meluluskan pesta itu sekalipun penganjur membuat permohonan,” katanya.

Beliau turut meminta MDB, polis dan Pejabat Agama Daerah Besut membuat pemantauan serta mengambil tindakan bagi menghalang penganjuran pesta itu.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger