Ramasamy Harus Dikeluarkan Dari Negara Ini – Mufti Perak
Written By aku on Friday, 15 April 2016 | 9:58 pm
PETALING JAYA: Kebiadapan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Prof P Ramasamy menghina penceramah Dr Zakir Naik dengan gelaran ‘syaitan’ seharusnya dihukum dikeluarkan dari negara ini.
Demikian kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menyifatkan kenyataan pemimpin DAP itu tidak menghormati Perlembagaan negara yang menyatakan Islam sebagai agama rasmi.
“Bagi saya, tindakan Ramasamy itu sangat biadab. Sebagai seorang ahli politik dan pemimpin, Ramasamy sepatutnya memahami Perlembagaan.
“Kalau dia tak faham Perlembagaan, maka dia patut dikeluarkan dari negara ini,” katanya lapor Sinar Harian.
Malah, Harussani juga menyatakan permohonan maaf daripada Ramasamy sebelum ini tidak mencukupi kerana beliau memohon maaf atas penggunaan perkatan ‘syaitan’ sahaja.
“Tindakan Ramasamy itu bukan menghina Zakir saja, tetapi turut menghina Islam secara keseluruhannya. Malah, permohonan maaf itu seolah-olah bukan dari hatinya.
“Di India sendiri, Zakir tiada halangan mengadakan ceramah. Jadi kenapa ada individu seperti Ramasamy yang mahu melarang kedatangan Zakir ke sini?,” soalnya.
Pada 12 April lalu, Ramasamy memohon maaf kerana menggelar Dr Zakir sebagai ‘syaitan’.
Ramasamy mengakui telah menggelar Dr Zakir sebagai ‘syaitan’ dalam menerusi catatan di Facebooknya, pada 10 April lalu, kerana penceramah itu didakwa memberi ceramah menghina agama lain.
Labels:
Politik