Home » » Terengganu Perlu 100 Jururawat Terlatih

Terengganu Perlu 100 Jururawat Terlatih

Written By aku on Sunday, 3 April 2016 | 11:40 am


Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu memerlukan sekurang- kurangnya 100 jururawat terlatih bagi merawat pesakit buah pinggang kronik menjalani dialisis.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya sedaya upaya akan memenuhi keperluan itu dengan menawarkan kekosongan jawatan kepada graduan mana-mana pusat pengajian kejururawatan dalam tempoh terdekat.

Katanya, pada masa sama, pasukan sukarelawan di mana ahlinya terdiri daripada doktor, jururawat tempatan lepasan universiti akan ditubuhkan.

 “Doktor Angkatan Tentera Malaysia, ada menawarkan perkhidmatan sama untuk bersama-sama membantu pesakit buah pinggang.
“Langkah ini, pastinya dapat mengurangkan kos perkhidmatan, sekaligus memenuhi keperluan pesakit,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Hemodialisis 1 Malaysia dan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat negeri di Kampung Maras, Batu Rakit, semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria; Pengerusi,Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhamad Pehimi Yusof; ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohammad  Omar.
 Sebanyak 11 mesin dialisis membabitkan peruntukan lebih RM800,000 ditempatkan di pusat hemodialisis itu yang mula beroperasi awal Januari lalu.

 Ahmad Razif memberitahu, difahamkan seramai 125 pesakit buah pinggang baharu masih menunggu untuk menjalani rawatan berikutan  kekurangan jururawat, selain lokasi untuk berbuat demikian tidak mencukupi.

 “Pesakit sedia ada iaitu seramai 1,366 orang sedang menjalani rawatan di 22 pusat hemodialisis termasuk sembilan pusat itu milik kerajaan.

“Kerajaan bercadang mahu menambah empat lagi pusat hemodialisis membabitkan lokasi Alor Limbat, Hulu Terengganu, Seberang Takir dan Kemaman dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya..
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger