Home » » Direnjat dengan arus elektrik

Direnjat dengan arus elektrik

Written By aku on Tuesday 23 May 2017 | 10:14 pm


JERTIH - Seorang pemuda melalui detik cemas apabila dia dilarikan dengan kereta sebelum disamun tiga penjenayah ketika sedang menunggu untuk menaiki bas ekspres di Jertih Souq, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hilmi, 19, bukan sahaja disamun sebaliknya mendakwa suspek turut memukul dan merenjatnya dengan arus elektrik.

Menurutnya, kejadian berlaku selepas dia keluar dari bangunan Jertih Souq sementara menunggu kedatangan bas ekspres untuk ke tempat kerjanya di sebuah syarikat minyak dan gas di Kota Tinggi, Johor.



"Waktu itu tiba-tiba datang seorang lelaki bertanya saya mahu ke mana dan suspek beritahu dia polis.

"Dia kemudian menarik tangan saya untuk berjalan ke arah stesen teksi berhampiran," katanya.

Hilmi berkata, dia yang tergamam menurut sahaja arahan suspek sebelum sebuah kereta datang menghampirinya.

"Suspek kemudian menekup muka saya dengan baju dan paksa saya masuk kereta sebelum dilarikan.

"Dalam kereta saya terpaksa tahan sakit bila dipukul dan direnjat beberapa kali oleh dua lagi suspek sambil memaksa saya serahkan barang berharga," katanya.

Katanya, suspek berkenaan kemudian menolaknya keluar dari kereta di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak di bandar Jertih sebelum melarikan diri.

"Akibat dipukul dan direnjat dengan arus elektrik, saya alami luka kecil dan lebam di bahu kiri serta kanan.

"Saya jalan kaki semula ke stesen bas terletak kira-kira 400 meter dari tempat tempat ditinggalkan sebelum buat laporan di Balai Polis Jertih," katanya.

Tambahnya, dia baru sahaja seminggu bekerja sebagai tukang cat di syarikat tersebut dan pulang bercuti di Taman Seratus, Kuala Besut, Khamis lalu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh mangsa mengenai kejadian samun tersebut.

Menurutnya, mangsa memberitahu tidak ada saksi yang melihat kejadian dan dia tidak mengenali suspek terbabit.

“Siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan, manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger