KUALA LUMPUR 15 Jan – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahdan menyifatkan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menolak terdapat krisis politik antara Dap dan Pas di negeri berkenaan adalah satu kenyataan yang penuh dengan sandiwara semata-mata.
Sambil mempersoalkan kepada siapa Azmin cuba berbohong, beliau percaya penafian Azmin itu sekadar cubaan terdesak untuk menutup realiti sedangkan pada hakikat sebenar terang lagi bersuluh Dap dan Pas secara terbuka saling menyerang antara satu sama lain.
“Lawak jenaka apa yang Azmin cuba lakukan? Kalau tak gaduh kenapa Pas tersingkir dari pakatan harapan? Malah Dap juga secara terang mengatakan akan meletakkan calon mereka di beberapa kawasan di Selangor yang ditandingi Pas.
“Jangan lupa Dap juga sudah isytiharkan Pas sebagai musuh utama mereka begitu juga Pas turut mengatakan Dap musuh mereka. Kalau ini bukan krisis atau perang kedua-dua parti, kita nak panggil apa? Cukup-cukuplah bermain sandiwara”, katanya kepada UMNO-Online di sini.
Beliau merujuk laporan akhbar Sinar Harian yang mengatakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan semua parti yang berada dalam kerajaan negeri menunjukkan kematangan berkhidmat kepada rakyat sekaligus menolak terdapat krisis politik antara Das dan Pas.
Beliau berkata kerjasama baik antara PKR, Dap, Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) seharusnya menjadikan Selangor sebagai negeri contoh yang harus diikuti kerajaan negeri lain.
“Krisis DAP-PAS? Tak ada. Perkara tersebut hanyalah sensasi media. Di Selangor semua parti menunjukkan kematangan dan berkhidmat kepada rakyat dan bukannya bermain politik,“katanya.
Sohaimi seterusnya menambah apa yang cuba dilakukan oleh Azmin ketika ini tidak lebih sekadar cubaan menutup bangkai gajah.
“Apa yang berlaku antara Pas dengan Dap sebenarnya bakal mengheret parti pembangkang ke arah yang lebih parah…Hari ini bukan sahaja retak menunggu belah antara Dap dan Pas malah sudah lebur. tetapi Azmin yang tidak nampak atau beliau sekadar bersandiwara untuk alih isu,“ katanya. -MediaUMNO