Home » » Penganggur ditahan bersama isteri

Penganggur ditahan bersama isteri

Written By aku on Friday, 15 January 2016 | 12:31 pm


JERTIH - Pasangan suami isteri yang amat dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dengan kes pecah cermin kereta di beberapa daerah, diberkas sepasukan polis di sebuah rumah di Taman Desa Saujana Kampung Padang Luas, di sini, kelmarin.

Penganggur berusia 34 tahun itu sangat dikehendaki polis untuk membantu siasatan berhubung kes pecah cermin kereta yang berlaku di daerah ini, Kuala Terengganu dan Setiu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, kedua-dua suspek yang beralamat di Kuala  Terengganu, diberkas sepasukan polis di sebuah rumah di taman perumahan berkenaan, kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Menurutnya, pasangan suami isteri yang mempunyai dua anak berusia 8 bulan dan 2 tahun itu dikesan sejak dua bulan lalu kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah cermin kenderaan untuk melarikan barang berharga milik mangsa.

“Kedua-dua suspek ditahan selepas gagal melarikan diri, manakala suspek lelaki merupakan suspek paling dikehendaki kerana melakukan jenayah tersebut,” katanya.

Menurut Khaled, pemeriksaan polis di rumah berkenaan menemui satu paket plastik cerah yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah.

Katanya, polis turut merampas sebuah kereta Honda Civic dan dua anak kunci kereta.

"Saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah, manakala semakan polis mendapati suspek lelaki mempunyai 11 rekod lampau kerana melakukan pelbagai kesalahan, sementara isterinya mempunyai dua rekod lampau berkait dengan dadah.

“Mereka ditahan reman selama tiga hari serta disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Polis tidak dapat menolak kemungkinan dapat menyelesaikan beberapa kes pecah cermin kenderaan sebelum ini dengan tertangkapnya suspek,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger