Home » » Warga emas cedera diserang tebuan

Warga emas cedera diserang tebuan

Written By aku on Thursday 24 August 2017 | 10:15 am


JERTIH - Seorang warga emas berdepan saat mencemaskan apabila dia kejar dan disengat lebih 20 ekor tebuan dalam kejadian di Kampung Gerung, Jabi dekat sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, Fatimah Awang Lah mahu mengambil lembu peliharaannya yang ditambat pada semak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Anak sulung mangsa, Che Mariam Mohamood, 51, ibunya disengat tebuan di semua bahagian badan, namun paling banyak disengat di kepala.

“Ketika emak saya  membuka ikatan tali lembu itu yang diikat pada akar pokok berhampiran semak itulah secara tiba-tiba sekumpulan tebuan mula menyerang emak saya.

“Kemungkinan tebuan tersebut bersarang di situ namun tidak disedari oleh emak saya dan penduduk lain,” katanya.

Che Mariam berkata, tebuan tersebut pada mulanya menyerang bahagian kepala ibunya namun selepas ibunya menutup kepala dengan kain dipakainya menyebabkan serangga tersebut turut menyengat bahagian lain.

Katanya, dalam keadaan kepala berbungkus ibunya berusaha pulang ke rumah namun beberapa ekor masih mengejarnya sehingga di rumah.

“Saya yang tinggal di rumah berdekatan kemudiannya mendengar suara jeritan ibu meminta tolong di rumahnya dan ia turut disedari oleh cucunya yang juga tinggal tidak jauh daripada situ,” katanya.

Menurut Che Mariam, dengan bantuan jiran ibunya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut untuk rawatan.

“Emak saya ditahan di wad Hospital Besut untuk rawatan di hospital itu namun terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) petang semalam untuk pengawasan doktor pakar kerana dibimbangi kesan sengatan akan memberi komplikasi kepada jantungnya,” katanya.

Bagaimanapun kata Che Mariam, keadaan ibunya sekarang dalam keadaan stabil, namun kepala dan badannya terpaksa dibasahkan dengan air kerana dia sering mengadu panas akibat sengatan tebuan itu.

Untuk rekod pada sebelum ini, dua kanak-kanak berusia 2 dan 8 tahun dari daerah ini maut disengat tebuan dalam dua kejadian berasingan.

Pada  4 Ogos lalu, murid Tahun 2 Sekolah Kebangsaan (SK) Tembila, Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin, 8, dari Kampung Benting Lintang maut selepas disengat lebih 60 tebuan ketika main sembunyi di dalam semak berhampiran rumahnya.

Sementara dalam kejadian terbaru Khamis lepas,  seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun, Puteri Nur Aisya Azahar dari Kampung Lay Out Tok Has meninggal apabila disengat kira-kira 30 ekor tebuan ketika bermain di tepi rumahnya sehari sebelum itu.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger