Home » » Bekas anggota polis diberkas

Bekas anggota polis diberkas

Written By aku on Wednesday 9 August 2017 | 1:18 am


KAMPUNG RAJA - Dua lelaki termasuk seorang bekas anggota polis diberkas bersama sejumlah dadah oleh sepasukan polis ketika sedang khayal di sebuah chalet di Pulau Perhentian pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, dalam serbuan kira-kira jam 5.30 pagi oleh anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Kampung Raja telah memberkas bekas polis tersebut berusia 37 tahun dan rakannya 26 tahun.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, kedua-dua mereka sedang mengambil dadah di dalam bilik pekerja sebuah chalet di Pulau Perhentian Kecil lalu polis bertindak menahan mereka.

“Pemeriksaan lanjut, polis menemui lapan peket plastik cerah dipercayai dadah jenis syabu bernilai RM400 dan 120 biji pil kuda dengan nilai pasaran RM1,440 berada berdekatan suspek.

“Bekas anggota polis tersebut beralamat di Jelawat, Bachok, Kelantan sementara seorang lagi beralamat di Telipot, Kota, Bharu, Kelantan.” Katanya.

Mohd Zamri berkata, kedua-dua mereka dibawa ke IPD Kampung Raja dan ditahan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Difahamkan bekas anggota polis itu ditamatkan perkhidmatan sebelum ini kerana masalah tataterbit ketika berkhidmat di sebuah Ibu Pejabat Polis (IPD) lain.

Dalam perkembangan lain, seorang kakitangan Penguat kuasa Pejabat Perhutanan Besut meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah hari kelmarin.

Mangsa Saari Busu, 55, dari Kampung Tasik Mengkuang, Kerandang yang bertugas di Kampung Raja disahkan meninggal dunia jam 4.45 petang ketika menerima rawatan di Hospital Besut akibat kecederaan parah di kepala dan perut.

Mohd Zamri berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika sebuah kereta Proton Wira dari arah Kampung Tempinis menghala ke Pak Wong tiba hadapan kubur Kampung

Kerandang tiba-tiba telah bertembung dengan motosikal mangsa yang hendak membelok ke kanan jalan untuk ke kedai makan di tempat berhampiran.

“Akibat perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa melambung ke depan cermin kereta tersebut dan mangsa kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Besut akibat cedera parah,” katanya.

Pemandu kereta berusia 58 tahun beralamat di Kampung Benting Lintang bagaimanapun mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan.

Mohd Zamri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger