Home » » Kumpulan anak Besut azam majukan daerah berkenaan

Kumpulan anak Besut azam majukan daerah berkenaan

Written By aku on Friday 26 February 2016 | 11:41 am

 Wan Ismail Wan Hassan,


SHAH ALAM - Atas inisiatif mahu melihat Besut, Terengganu menjadi daerah maju dan membangun, sebuah pertubuhan dinamakan BesutMaju ditubuhkan bagi menjadi penggerak ke arah itu.

Menariknya, idea penubuhan BesutMaju digerakkan sendiri oleh anak-anak kelahiran Besut yang tinggal di Lembah Klang, yang mahu daerah itu berupaya berdaya saing dari pelbagai sektor dengan daerah lain di Terengganu.

Menurut Timbalan Pengerusi, Wan Ismail Wan Hassan, Besut yang terletak di utara Terengganu merupakan daerah yang mempunyai pelbagai tarikan, bukan sahaja dari sektor pelancongan, malah mempunyai keupayaan lain yang boleh dikembangkan.

“BesutMaju ini sebuah pertubuhan yang menjadi kumpulan pemikir kepada pihak pentadbiran daerah. Kami  menyalurkan idea melalui kaji selidik dilakukan terhadap penduduk setempat terutamanya yang dapat meningkatkan sosioekonomi penduduk.

“Hasil kaji selidik itu kelak akan dimajukan kepada pihak pentadbiran termasuklah menteri besar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, BesutMaju yang  disertai golongan profesional dan intelek mahu transformasi positif dapat dilakukan di Besut melalui idea dan kajian yang dilakukan dan  secara tidak langsung meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Katanya, bagi memastikan hala tuju itu tercapai, enam kluster diwujudkan di bawah BesutMaju iaitu ekonomi, pertanian, pelancongan, pendidikan, infrastruktur dan  keselamatan awam yang digerakkan jawatankuasa dilantik.

Katanya, peranan pertubuhan ini tidak melangkaui apa jua projek daripada pihak kerajaan negeri, malah mereka bekerjasama untuk menambah baik projek sedia ada dan akan datang.

Dalam pada itu, sejajar dengan perkembangan semasa, golongan belia turut sama diberi peranan penting sebagai pemangkin kepada kejayaan BesutMaju yang baru diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 10 Oktober 2015.

BesutMaju membuka keahlian kepada orang ramai  sama ada mereka atau ibu bapa atau suami dan isteri dilahirkan di Besut.

“Kita juga buka keahlian kepada orang ramai, tanpa mengira sama ada mereka anak kelahiran Besut atau tidak. Jika mereka pernah belajar di Besut atau berkhidmat di Besut atau bermastautin di Besut, mereka boleh turut serta.

“Pada 500 orang yang terawal menjadi ahli, kita tawarkan yuran keahlian secara percuma,” katanya yang menyasarkan 5,000 keahlian.

Mereka yang berminat untuk turut serta menjadi ahli BesutMaju boleh menghubungi 03-51225843 atau e-mel kepada waniismail.wh@fukuda.com.my.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger