Home » » Lebih 1,000 pelabur skim cepat kaya di Besut berputih mata

Lebih 1,000 pelabur skim cepat kaya di Besut berputih mata

Written By aku on Friday 26 February 2016 | 12:32 am


JERTIH: Lebih 1,000 pelabur dari daerah Besut yang menyertai skim cepat kaya dengan sebuah syarikat pelaburan berputih mata untuk mendapatkan hasil pelaburan bernilai jutaan ringgit, selepas pengurusan syarikat terbabit menghilangkan diri. Ketua Polis daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah, berkata syarikat itu yang beroperasi di Tanah Merah, Kelantan, difahamkan sudah menutup operasinya selepas aktiviti pengambilan deposit haram daripada orang ramai dikesan pihak berkuasa. Beliau berkata, seorang daripada mangsa iaitu lelaki berusia 52 tahun dari Kampung Renik, dekat sini, membuat laporan di Balai Polis Jertih di sini, hari ini. Katanya, mangsa mendakwa mula menyertai skim itu selepas diajak oleh rakan yang sudah lama menyertai skim itu dan membuktikan pelabur mendapat keuntungan yang tinggi. "Menurut mangsa, pada Jun 2015 beliau dilantik oleh pengasas syarikat berkenaan sebagai pengurus kumpulan bagi daerah Besut. "Dalam tempoh singkat selepas dilantik pengurus daerah, beliau berjaya mengutip RM245,000 bersamaan 700 lot yang bernilai RM350 bagi setiap lot daripada orang ramai sekitar daerah itu. "Selain itu, mangsa turut mendapat upah RM5,000 sebulan sebagai jawatan pengurus cawangan syarikat terbabit," katanya. Khaled berkata, lelaki terbabit mendakwa sudah menyerahkan sejumlah wang tunai iaitu hasil kutipan daripada pelabur di daerah ini kepada konsultan syarikat berkenaan pada Jun 2015 hingga Februari lalu. "Mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Jertih hari ini kerana bimbang keselamatannya selepas pengasas syarikat terbabit menutup operasi dan menghilangkan diri," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/127986
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger