Laluan pejalan kaki rosak
Written By aku on Tuesday, 9 February 2016 | 4:02 pm
KAMPUNG RAJA - Fenomena air pasang besar yang turut mencetuskan ombak besar menyebabkan laluan penjalan kaki dan benteng konkrit di pantai perkelahan Bukit Keluang mengalami kerosakan dalam kejadian petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut, Suhaimi Awang berkata, kejadian air pasang besar hingga melimpah ke bahagian penjalan kaki yang lazimnya berada pada jarak lebih 30 meter pada keadaan biasa menyebabkan laluan tersebut pecah.
Menurutnya, tidak ada kerosakan lain dilaporkan termasuk menara tinjau Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang terletak di lokasi berhampiran .
“Di samping itu juga, pihak kami sentiasa memantau agar tidak ada pengunjung yang menghampiri kawasan pantai itu kelmarin kerana keadaan berbahaya memandangkan ombak besar dan angin kencang,” katanya.
Tambahnya, fenomena ini berlaku di sepanjang kawasan pantai di daerah ini. Namun, setakat ini tidak ada sebarang kerosakan besar membabitkan harta benda milik penduduk dilaporkan.
Sementara itu menurut Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Abd Rahman, kesemua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut yang terkandas tidak dapat pulang ke kampung halaman mereka di Pulau Perhentian akibat keadaan laut bergelora telah pulang ke kampung mereka pagi semalam.
Menurutnya, beliau difahamkan Jabatan Laut Malaysia hanya memberi kebenaran kepada bot membawa penduduk kampung dan barangan makanan sahaja ke Pulau Perhentian sementara bot membawa pelancong masih tidak dibenarkan beroperasi.
“Bagaimanapun, pelancong yang terkandas di Pulau Perhentian telah dibenarkan pulang ke jeti Kuala Besut seawal jam 8 pagi semalam berikutan keadaan luat yang agak baik berbanding kelmarin,” katanya.
Tengku Zaihan berkata, perkhidmatan bot membawa pelancong dijangka akan pulih seperti biasa dalam tempoh terdekat ini berikutan keadaan cuaca yang semakin baik
Labels:
Semasa