RM20,000 peruntukan segera bina benteng Pantai Suria
Written By aku on Tuesday, 9 February 2016 | 4:18 pm
DUNGUN - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu memperuntukkan RM20,000 untuk membina benteng beg pasir di kawasan tebing jalan di Pantai Sura yang runtuh akibat dipukul ombak dua hari lalu.
Pegawai Pembangunan Dungun, Datuk Din Adam berkata pembinaan benteng itu akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu sebagai langkah awal bagi mengelakkan runtuhan semakin besar berlaku.
"Satu persetujuan bersama telah dibuat antara JPS, Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu untuk mengambil langkah segera membina benteng menggunakan beg pasir buat sementara bagi memastikan tidak berlaku runtuhan kedua yang lebih teruk.
"Kerja-kerja pembinaan benteng sementara ini telah dimulakan sejak malam tadi sebab kita khuatir kalau langkah awal ini tak dibuat, mungkin jalan juga boleh runtuh sebab keadaan air pasang dan ombak besar," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Din berkata, ECER telah mengambil inisiatif bagi membina 10 benteng hakisan di sepanjang tujuh kilometer jalan pantai di daerah itu bermula dari Pantai Teluk Lipat hingga ke Pantai Teluk Gadung dan sehingga kini tiga daripadanya telah siap dibina.
"Selepas ini pihak ECER akan membuat penilaian segera membaik pulih tebing runtuh ini dan sekarang ini JPS hanya melakukan kerja membaik pulih sementara yang mana kerja-kerja ini dijangka akan mengambil masa sehingga dua hari," katanya.
Tebing sepanjang 100 meter di kawasan Pantai Sura runtuh akibat dipukul ombak sehingga membentuk gaung sedalam lima meter dan jalan berhampiran ditutup sementara bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.
Fenomena air pasang dan ombak besar yang berlaku sejak dua hari lalu turut mengakibatkan hakisan semakin menghampiri jalan raya di sepanjang tujuh kilometer di pantai berkenaan dan banyak pokok rhu yang menjadi penahan ombak turut musnah.
Pantai Teluk Lipat di sini telah diklasifikasikan JPS berada di bawah tahap kritikal dan sebanyak RM69 juta telah diperuntukkan kerajaan pusat di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) bagi menyelesaikan masalah hakisan. - Bernama
Labels:
Semasa