Home » » Tetap dapat rumah kekal

Tetap dapat rumah kekal

Written By aku on Tuesday, 9 February 2016 | 4:25 pm


GUA MUSANG - Seramai 117 keluarga mangsa banjir lebih setahun lalu, yang masih tinggal di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bakal dapat rumah kekal dua bulan lagi.

Adun Galas, Ab Aziz Yusof berkata, ini berikutan rumah kediaman kekal untuk mereka di Kampung Tanah Puteh dan Kampung Batu Papan 2 masih dalam pembinaan.

Beliau berkata, sebanyak 40 unit rumah kekal dibina kerajaan pusat di Kampung Batu Papan 2, manakala selebihnya di Kampung Tanah Puteh dibina Sultan Kelantan.

Katanya, pembinaan rumah itu mengambil masa kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan khususnya pengambilan balik tanah individu untuk tujuan itu.

“Apa pun perkara itu telah diselesaikan. Kini hanya tunggu rumah kekal dalam pembinaan siap sepenuhnya dalam masa dua bulan lagi,” katanya ketika mengunjungi kem PLKN Etnobotani, di sini pagi semalam.

Sebelum itu, beliau beramah mesra dengan tiga keluarga mangsa banjir kaum Tionghoa yang terpaksa menyambut Tahun Baharu Cina di kem terbabit.

Ab Aziz Juga Naib Ketua Umno bahagian berkata, seramai 14 keluarga mangsa terakhir yang berpindah ke kem PLKN itu akhir Disember lalu, selepas setahun tinggal di khemah di Bandar Utama.

Beliau berkata, keluarga terbabit diarahkan mengosongkan tapak khemah itu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mereka dikehendaki tinggal di kem PLKN.

“Apabila semua mangsa banjir berada di kem PLKN, mudah bagi semua pihak untuk menguruskan bantuan serta pengagihan rumah kekal nanti. Lagipun, tapak khemah itu hanya diberi tempat tinggal sementara oleh pemaju bandar utama berdasarkan simpati ke atas nasib mangsa banjir pada akhir Disember 2014,” katanya.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger