Lebihan Stok Bantuan Banjir Akan Diagih Kepada Golongan Miskin
Written By aku on Wednesday, 24 February 2016 | 12:13 pm
Kerajaan Terengganu akan mengagihkan barangan keperluan untuk mangsa banjir yang kini disimpan di pusat pangkalan hadapan seluruh negeri kepada golongan miskin dan ibu tunggal pada awal Mac ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof berkata, agihan itu sudah boleh diagihkan memandangkan tiada lagi ancaman banjir yang akan berlaku di Terengganu dalam masa terdekat.
“Kita akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk mengenal pasti golongan miskin dan ibu tunggal yang akan menerima bantuan ini.
“Ketika ini, proses pengiraan stok makanan telah pun dimulakan oleh pegawai-pegawai di semua pusat pengkalan hadapan untuk pengagihan itu dilakukan secara berperingkat di semua kawasan yang sudah dikenal pasti,” katanya.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri Terengganu telah memperuntukkan sebanyak RM912,574 bekalan makanan dan RM1.34 juta lagi untuk kelengkapan harian bagi mangsa banjir pada tahun lepas.
Namun, Muhammad Pehimi berkata banjir yang berlaku tahun lepas tidak seburuk tahun-tahun sebelum ini dan pihaknya akan membuat kiraan semula stok makanan dan keperluan harian yang masih berbaki di pusat pengkalan hadapan.
“Barangan makanan seperti biskut, kopi, bihun dan susu yang belum tamat tarikh luput akan diagihkan segera.
“Barangan lain seperti kain batik, kain pelikat, toto, selimut, lampin bayi dan keperluan yang tidak mempunyai tarikh luput pula akan akan disimpan semula untuk persediaan menghadapi banjir di masa akan datang,” katanya.
Labels:
Semasa